Menangani pelajar ponteng
Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia amat memandang serius akan gejala ponteng sekolah, memandangkan gejala ini seterusnya akan membawa kepada permasalahan sosial yang lebih teruk seperti gejala maksiat dan samseng remaja. Oleh itu, di beberapa tempat seperti di Lembah Klang, Polis Diraja Malaysia menempatkan beberapa anggota polis bagi memantau kawasan tumpuan remaja bagi mengesan pelajar ponteng, dan sekiranya pelajar yang didapati ponteng tertangkap maka ibu bapa berkemungkinan akan dikenakan tindakan.
Untuk membolehkan penguatkuasaan larangan ponteng dapat dilaksanakan secara menyeluruh, orang ramai diseru agar melaporkan kepada polis sekiranya terserempak dengan pelajar yang ponteng sekolah.
Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga turut mengambil inisiatif bagi menangani gejala ponteng dengan menyertakan syarat remaja berpakaian seragam sekolah tidak boleh memasuki premis mereka sebagai salah satu syarat bagi mengeluarkan lesen bagi kafe siber dan arked permainan video.
Di samping itu, pihak sekolah juga perlu menyediakan suasana persekolahan yang kondusif serta tidak menekan pelajar untuk menarik minat pelajar agar terus menghadiri kelas. Guru-guru juga disaran supaya bersikap ramah serta tidak terlalu garang dengan pelajar.
Paling penting, ibu bapa seharusnya memainkan peranan bermula dari akar umbi bagi mencegah anak-anak mereka daripada ponteng sekolah. Mereka seharusnya memerhatikan gerak-geri anak mereka, dengan siapa anak mereka berkawan, kerap menghubungi pihak sekolah serta memeriksa beg sekolah anak mereka sebagai bukti sama ada anak-anak mereka menghadiri sekolah atau tidak. Ibu bapa juga tidak seharusnya terlalu mempercayai anak-anak mereka kerana sikap terlalu memanjakan anak sudah tentunya bakal memakan diri sendiri kelak.
No comments:
Post a Comment